Yang
menjadi kebimbangan besar dalam kalangan para penyelidik ialah potensi partikel
nano yang boleh memudaratkan kesihatan manusia dan alam sekitar. Meskipun
begitu pengetahuan mengenai impak, kesemua bahan partikel nano terhadap manusia
dan alam sekitar masih terhad. Pada tahun 2004, Inisiatif Nanoteknologi
Kebangsaan Amerika Syarikat melaporkan sebanyak 20 ribu pekerja di seluruh
dunia bekerja dalam sektor teknologi nano dan dijangka akan meningkat sehingga
dua juta orang pada tahun 2015. Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2008 telah
mengeluarkan laporan yang dinamakan sebagai”Risiko Global 2008″. Laporan
tersebut menyatakan impak pendedahan partikel nano (cat, kosmetik dan produk
kesihatan) yang boleh menyebabkan gangguan terhadap kesihatan manusia.
Antara
karya penyelidikan lain yang membicarakan impak kesihatan daripada bahan
partikel nano ialah sebuah laporan mengenai “Kesan-kesan Partikel Nano” yang
dikeluarkan oleh Institut de Recherche Robert-Sauveen Santeet en Securite du
Travail (IRSST), organisasi penyelidikan saintifik berpusat di Montreal,
Kanada. Laporan ini memuatkan beberapa jenis bahan partikel nano yang boleh
memberikan kesan mudarat kepada manusia. Antara bahan partikel nano tersebut
ialah fuleren, tiub karbon nano, partikel nano tak organik, partikel nano
organik dan dot kuantum.
Laluan
partikel nano ke badan manusia boleh berlaku semasa pernafasan dan juga
pengambilan makanan yang telah terdedah kepada partikel nano. Partikel nano
yang disedut boleh termendap di dalam salur darah selepas menembusi kesemua
mekanisme perlindungan pernafasan. la kemudian diagihkan ke dalam pelbagai
organ dan berkumpul di tapak yang khusus. la boleh bergerak sepanjang saraf
penghiduan dan menembusi secara langsung ke saraf otak. Sifat ini, dikaji
secara meluas dalam bidang farmakologi, membolehkan partikel nano organik
digunakan sebagai vektor bagi membawa ubatan kepada sasaran di dalam fungsi
badan.
Kajian
sedia ada menunjukkan beberapa kesan terhadap haiwan, bergantung pada jenis
partikel nano. Kesan kenefrotoksikan, dalam reproduksi dan kesan genotoksik
telah dikenal pasti. Sesetengah partikel menyebabkan tindak balas granulomas,
fibrosis dan tumor pada paru-paru. Kesan bahan seperti titanium dioksida. bahan
yang diiktiraf sebagai kurang bertoksik, menunjukkan sifat toksik yang tinggi
di dalam saluran pernafasan pada skala nano.
Dalam
konteks negara ini, industri minyak dan gas, pembuatan detergen dan aktiviti
penyaduran logam adalah antara aktiviti yang mungkin berpotensi bagi pelepasan
bahan partikel berskala nano. Yang menjadi persoalan utama adakah perundangan
sedia ada memadai untuk mengawal penghasilan bahan partikel nano.
Oleh itu, kawalan dalam bentuk dasar dan perundangan perlu dikaji bagi
memastikan penggunaan bahan partikel nano yang mempunyai risiko tinggi terhadap
manusia dapat dikawal dan dipantau. Kajian yang mendalam perlu diteruskan bagi
memastikan pembangunan teknologi nano dapat memberikan manfaat yang banyak di
samping impaknya terhadap kesihatan manusia dapat dikawal dengan baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan